Thursday, July 4, 2013

JURNAL REFLEKSI MINGGU PERTAMA

JURNAL REFLEKSI
MINGGU PERTAMA (31 Januari 2011 – 04 Februari 2011)

Alhamdulillah, kini saya telah mula mengorak langkah ke permulaan alam pendidikan. Praktikum ini adalah sebahagian daripada alam pendidikan yang sebenar. Saya mula mengenali dan menjiwai dunia pendidikan walaupun hanya 12 minggu sahaja. Saya sudah mula membiasakan dan menjinakkan-jinakkandiri menjadi seperti yang dikehendaki oleh para pensyarah dan guru pembimbing, namun ianya hanya secara menyeluruh. Jika diteliti kembali, masih terdapat banyak lompang-lompang dan kekurangan yang terhasil dari kelemahan dan kekurangan diri saya.
            Bermula pada minggu pertama, segalanya masih lagi kekok dan takut. Saya agak sedikit gementar kerana ditempatkan di sekolah yang baru. Namun berbekalkan segala nasihat pensyarah pembimbing, Ustaz Mohd Najib bin Sulaiman dan guru pembimbing dari sekolah ini, Ustazah Normah binti Yusoff. Selain itu, tidak lupakan, pentadbiir, guru-guru Sekolah Kebangsaan Padang Melangit, warga sekolah, pensyarah-pensyarah IPG Kampus Perlis dan rakan-rakan, saya kuatkan azam dan tekad diri untuk terus menjadi yang terbaik.
            Pada minggu ini, sekolah hanya bersekolah dua hari sahaja. Tiga hari selebihnya, kami bercuti untuk cuti sempena Tahun Baru Cina. Pada hari Isnin, iaitu 31 Januari 2011, saya mula mendaftarkan diri di Sekolah Kebangsaan padang Melangit, Beseri, Perlis. Selain saya dan rakan dari opsyen Pengajian Agama Islam, terdapat dua lagi rakan saya daripada opsyen Pendidikan Seni Visual yang juga ditempatkan di sekolah yang sama.
            Pada hari Isnin tersebut, selepas perhimpunan rasmi sekolah, saya telah berjumpa dengan Guru Besar sekolah. Beliau telah menceritakan serba sedikit tentang keadaan di sekolah tersebut. Saya sebagai bakal guru, menerima segala nasihat dan tunjuk ajar dari beliau untuk bekalan pada masa akan dating. Semasa sesi bersama Guru Besar, beliau telah menerangkan struktur sekolah, jumlah guru dan jumlah murid di sekolah tersebut.
            Selesai sahaja perjumpaan dengan Guru Besar sekolah tersebut, saya telah berjumpa dengan Guru Penolong Kanan Pentadbiran sekolah untuk urusan jadual waktu. Semasa bersama beliau, kami telah diperkenalkan dengan guru pembimbing masing-masing. Guru pembimbing kami bernama Ustazah Normah binti Yusoff. Hasil perbincangan bersama mereka, saya telah diamanahkan untuk mengajar tahun tiga dan tahun empat. Saya menerimanya dengan hati yang terbuka dan gembira.
            Pada 1 Februari 2011, saya telah melihat proses pengajaran dan pembelajaran yang disampaikan oleh guru pembimbing di kelas 4 Kamil. Ketika itu, beliau sedang mengajar bidang jawi. Dapatlah serba sedikit ilmu pengajaran yang boleh saya ambil daripada pemerhatian yang dilakukan.
            Pada hari yang sama juga telah berlangsung Perasmian Program Intan Terpilih di Dewan Terbuka Sekolah Kebangsaan Padang Melangit. Perasmian telah dilakukan oleh Puan Rokiah binti Karim, Pensyarah di Institut Pendidikan Guru Kampus Perlis.
Pemerhatian saya pada peringkat awal bagi proses pengajaran dan pembelajaran dalam minggu ini berpusatkan pada cara pengurusan dan pengendalian kelas atau boleh kita simpulkan kepada kawalan kelas itu sendiri. Seorang guru seharusnya memiliki perawakan yang mesra namun ketegasan tidak boleh diabaikan dan semestinya sifat itu mesti ada sepanjang bergelar sebagai seorang guru sama ada di dalam mahupun di luar bilik darjah. Hal ini terlebih penting semasa pertama kali guru berhadapan dengan murid. Ini adalah untuk memberikan pandangan pertama bagi setiap murid bahawa guru seharusnya dihormati dan dijadikan sebagi ‘role model’. Sehubungan itu, guru seharusnya menjaga penampilan dan identitinya sebagai seorang guru.
            Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar dan teratur pada minggu pertama saya di sekolah. Saya secara perlahan-lahan mula membiasakan diri dengan suasana perguruan yang sebenar. Saya masih belajar dalam membiasakan diri dalam bidang perguruan ini. Semoga saya akan menjadi guru yang baik pada masa akan datang.


Pelajar Cemerlang Praktikum IPG Perlis 2011
Pengajian Agama


No comments:

Post a Comment